Tidak Adakan Solat Jumaat Untuk Elak Penyebaran Covid-19?

Sejak penularan Virus Covid-19 ini ramai yang cemas. Ada yang batalkan kenduri kahwin, elak bersalaman dengan orang dan juga ada yang suruh batalkan Solat Jumaat sebab kata kalau orang ramai berkumpul mempercepat penyebaran virus tapi perlu ke?

Malahan di Singapura sebanyak 70 buah masjid ditutup selama lima hari untuk kerja-kerja pembersihan untuk mencegah penularan Virus Covid-19.

Tidak ketinggalan juga di negara kita Negeri Perlis membatalkan Solat Jumaat di negeri itu dan menggantikannya dengan solat Zohor di rumah masing-masing.

Adakah perkara ini bertentangan dengan Syarak?

Dalam Islam sesuatu perkara boleh dibenarkan atau diharamkan jika ianya mendatangkan sesuatu mudarat yang lebih besar.

Syariat Islam amat menitikberatkan kaedah pencegahan sama ada secara umum ataupun khususnya dalam perubatan. Terdapat beberapa dalil daripada al-Quran yang berkaitan dengan langkah pencegahan. Antaranya ialah firman Allah Taala yang bermaksud, “Janganlah kamu melemparkan diri kamu ke lembah kebinasaan” (al-Quran. al-Baqarah: 2/195).

Ayat al-Quran ini walaupun tidak menjelaskan secara terperinci tentang langkah pencegahan, namun ia adalah prinsip umum yang perlu diikuti oleh manusia untuk menjaga keselamatan diri mereka dengan tidak mendedahkan diri kepada perkara-perkara yang boleh membinasakannya (Irwan Mohd Subri, 2004

Manakala hadis yang berkaitan dengan langkah pencegahan, antaranya ialah hadis yang diriwayatkan oleh imam al-Bukhari, daripada Usamah bin Zayd bahawa Nabi SAW bersabda yang bermaksud, “Jika kamu mengetahui wabak taun berlaku di sesuatu kawasan maka janganlah kamu memasukinya. Jika ia berlaku di sesuatu kawasan yang kamu diami maka janganlah kamu keluar dari kawasan itu” (Hadis. al-Bukhari. Bab Ma Yuzkar Fi al-Ta’un. No. 5396).

Abu Hurairah pula meriwayatkan sebuah hadis daripada Nabi SAW yang bermaksud, “Janganlah kamu membentangkan (mencampurkan) orang yang sakit dengan orang yang sihat” (Hadis. Abu Dawud. Bab Fi al-Tiyarah. No. 3913).

Hadis-hadis ini jelas menunjukkan tentang langkah pencegahan yang harus diambil jika berlaku sesuatu penyakit atau wabak. Tindakan yang berkait dengan pencegahan memang sangat dituntut oleh Islam malah ia sesuai dengan kaedah Usul Fiqh iaitu sadd al-dhari’ah (menyekat pintu kerosakan). Langkah pencegahan taun juga dapat dilihat daripada peristiwa yang berlaku pada zaman Saidina Umar.

Al-Tahawi (t.th) dalam kitabnya menceritakan bahawa ketika Saidina Umar menuju ke Syam atas suatu urusan, beliau telah diberitahu bahawa Syam sedang dilanda wabak taun. Setelah perbincangan dibuat, beliau telah mengambil keputusan untuk tidak memasuki Syam. Bahkan beliau telah berpatah balik sebagai langkah pencegahan dalam menghadapi wabak tersebut.

Ini bertepatan dengan objektif Syarak (maqasid al-Shari’ah) yang antaranya ialah menjaga nyawa (hifz al-nafs) dan harta (hifz al-mal) (al-Shatibiyy, t.th). Menjaga nyawa dapat direalisasikan melalui halangan orang luar daripada masuk ke tempat yang sedang dilanda wabak seperti taun.

Namun begitu kita sebagai seorang muslim yang patuh dan taat kita perlulah sentiasa ikut hukum dan perintah pihak berkuasa dan pejabat mufti negeri kita. Sekiranya Negeri atau kawasan kita tidak begitu terjejas dan mendapat arahan untuk meneruskan Solat Jumaat kita wajib menunaikan solat jumaat dan mengikut nasihat Menteri Agama kita yang juga mantan Mufti Wilayah iaitu memendekkan waktu Solat Jumaat untuk mengurangkan waktu kita berada di khalayak ramai

Kongsikan