Pengawal PS5

Alat Kawalan PS5 DualSense Diperkenalkan

Sejak bulan Mac lagi, Sony telah mendedahkan pelbagai butiran mengenai konsol permainannya yang akan datang iaitu PS5 secara berperingkat di laman blognya. Pada bulan lepas, kita mendapat maklumat tentang spesifikasi konsol tersebut. Pada 7 April pula, kita mendapat maklumat tentang alat kawalan PS5 yang dinamakan DualSense.

alat kawalan PS5
Alat kawalan PS5, DualSense
(Sumber imej: Sony)

Rupa Bentuk DualSense

Daripada gambar yang dikongsikan di laman blog PlayStation, kita dapat lihat perubahan yang besar dari segi rupa bentuk. Satu perubahan yang nyata adalah bahawa DualSense mempunyai lengkung pada bentuknya manakala DualShock 4 mempunyai bentuk yang lebih lurus. Ini supaya penggunanya akan rasa lebih selesa apabila menggunakannya. Bar cahaya yang berada di bahagian atas DualShock 4 pula dialihkan ke sisi pad sentuh. Hal ini dikatakan akan menyebabkan bar cahaya itu kelihatan lebih besar.

alat kawalan PS4
DualShock 4, pendahulu DualSense
(Sumber imej: Sony)

Selain itu, batang analog tidak lagi menonjol di bawah seperti di DualShock 4. Perubahan ini telah menyebabkan DualSense kelihatan seperti alat kawalan Xbox One dan Xbox Series X. Semua perubahan tersebut dibuat dengan mengambil kira bateri boleh cas semula yang dimuatkan dalam DualSense dan juga beratnya. DualSense juga diberikan nafas baharu dari segi warnanya. Ia mempunyai dua warna yang berbeza daripada DualShock yang kebiasaannya hanya mempunyai satu warna.

Perubahan pada Butang Alat Kawalan

Butang ‘Share’ (Kongsi) yang wujud pada DualShock 4 telah digantikan dengan butang ‘Create’ (Cipta). Butang ‘Create’ ini mempunyai semua fungsi yang sama seperti butang ‘Share’ dan juga fungsi lain yang Sony akan dedahkan dalam masa yang terdekat. Butang L2 dan R2 pula telah dimuatkan penyesuaian pencetus yang akan membolehkan pengguna DualSense merasai ketegangan aksi dalam permainan video seperti menarik tali busur panah. DualSense juga mempunyai mikrofon bagi memudahkan pemain berbual dengan rakannya untuk jangka masa yang pendek.

Dengan adanya butang ‘Create’ yang baharu, kemungkinan besar DualShock 4 tidak boleh digunakan dengan PS5. Ini berbeza dengan pesaing utama PlayStation iaitu Xbox yang membolehkan alat kawalan Xbox One digunakan dengan Xbox Series X dan sebaliknya.

Alat Kawalan Mana Lebih Bagus?

Dengan pendedahan ini, peminat permainan video mesti tertanya-tanya yang manakah alat kawalan yang terbaik bagi generasi konsol hadapan? Adakah ketiadaan bateri boleh cas semula pada alat kawalan Xbox akan menjadikan Xbox ketinggalan dalam persaingan konsol? Kita masih lagi kekurangan maklumat tentang konsol PS5. Kita hanya boleh mengetahui jawapannya apabila PS5 mula dipasarkan.

Kongsikan